Wednesday, March 4, 2009

URBANISASI adalah proses kepada perubahan dari pelbagai aspek.

Bahagian I: Pengenalan

Dalam era globalisasi kini, masyarakat dunia berhadapan dengan pelbagai perubahan dalam kehidupan mereka. Salah satunya ialah proses ‘urbanisasi’ atau perbandaran. Pembandaran lazimnya ditakrifkan sebagai suatu proses perubahan sama ada penduduk, petempatan, cara hidup, pekerjaan dan kegiatan ekonomi, pemikiran manusia dan segalanya ke arah bandar. Kingsley Davis(1972), seorang pakar dalam kajian penduduk, mentakrifkan urbanisasi sebagai proses penumpuan penduduk mendiami kawasan yang boleh dianggap bandar bagi sesebuah daerah, negara atau unit- unit kawasan yang lain. Ambe (2003), fenomena ini semakin pesat berlaku khususnya di rantau Asia. Urbanisasi adakalanya ditakrifkan sebagai satu proses perubahan masyarakat daripada bercorak desa yang biasanya tidak formal ke corak bandar yang lazimnya lebih formal. Walau bagaimanapun, pengkaji bandar di negara- negara membangun seperti Mc Gee(1971) dan Breese(1969) berpendapat bahawa perbezaan tidak wujud dengan jelas di negara- negara dunia ketiga. Menurut laporan United Nations (1996), negara membangun akan menjadi kawasan tumpuan pembangunan dan penduduk menjelang tahun 2015. Menurut Davis (1969), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan indikator peningkatan penumpuan penduduk di kawasan bandar sebagai kayu ukur kepada kepesatan urbanisasi. Perbandaran seringkali dianggap sebagai petunjuk modenisasi, peningkatan taraf hidup serta kemajuan sama ada di negara membangun atau negara maju, kerana perbandaran merupakan prasyarat untuk pemodenan dan perkembangan. Oleh itu, perbandaran merupakan satu elemen penting terhadap kemajuan sesebuah negara. Dalam kepesatan perbandaran, pelbagai perubahan akan berlaku iaitu meliputi aspek seperti ekonomi, demografi, politik, budaya, teknologi, sosial dan faktor persekitaran semulajadi yang mana perubahan- perubahan ini merupakan petunjuk kepada kepesatan perbandaran. Namun demikian, seiring dengan kepesatan, perkembangan, kemajuan serta pembangunan infrastruktur, manusia boleh mencetuskan pelbagai fenomena sosial. Knox (1994), menjelaskan bahawa setiap perubahan yang berlaku dalam bandar adalah saling berhubung kait kesan daripada proses perbandaran. Justeru itu, perlulah diberi penumpuan terhadap sejauhmanakah kepesatan urbanisasi di negara membangun mempengaruhi peningkatan permasalahan sosial bandar kesan daripada peningkatan penduduk bandar.

Bahagian II: Penjelasan

Sungguhpun penduduk di bandar tinggal berhampiran antara satu sama lain di tempat yang terdapat kesesakan penduduk dalam satu kawasan kecil, tetapi perhubungan mereka sangatlah jauh, tidak seperti keadaan di luar bandar. Walaupun mereka tinggal berjauhan tetapi perhubungan mereka begitu rapat. Keadaan seperti ini menimbulkan beberapa kesan sosial yang membezakan keadaan masyarakat di bandar dan luar bandar. Pelbagai masalah sosial wujud akibat daripada proses urbanisasi ini, antara masalah sosial tersebut ialah masalah jenayah. Permasalahan ini berlaku disebabkan penyerapan lebihan penduduk yang terlalu ramai di sesebuah bandar. Hal ini kerana, urbanisasi yang berlaku di sesebuah bandar menggalakkan berlakunya migrasi masuk dalam kawasan bandar. Proses ini menyebabkan peluang pekerjaan yang ada terhad untuk disesuaikan dengan kelayakan akademik dan kemahiran yang dimiliki oleh migran yang datang. Sebahagian sektor ekonomi di bandar adalah bersifat semi profesional dan profesional yang memerlukan kelulusan yang tinggi sedangkan migran yang masuk tidak mempunyai menilai kelayakkan tersebut. Kebanyakkan mereka bekerja dalam sektor informal sebagai buruh kasar dan juga di sektor-sektor perkilangan. Hal ini sekaligus telah mencetuskan masalah sara diri bagi migran-migran ini. Pendapatan kecil yang diperolehi tidak mencukupi untuk menampung kos hidup yang tinggi di bandar. Akibat dari desakan dan tekanan ekonomi ini maka, masalah persekitaran sosial bandar seperti peningkatan kadar jenayah, seperti merompak, peras ugut, pelacuran, pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan sebagainya dildkukan oleh mereka demi untuk meneruskan kehidupan di bandar.

Selain itu, terdapat juga masalah lain yang timbul akibat daripada proses urbanisasi iaitu masalah perumahan. Masalah ini sememangnya kerap dialami oleh penduduk dikebanyakkan bandar-bandar besar, khususnya bandar-bandar di negara membangun terutamanya di Asia. Hal ini disebabkan oleh kegiatan ekonomi kebanyakkan penduduk bandar khususnya migran yang datang hanya dalam sektor informal , yang menyebabkan pendapatan yang diperolehi adalah kecil dan relatif dengan kos hidup yang tinggi di bandar. Pendapatan yang rendah dan nilai hartanah yang tinggi serta sewa rumah yang mahal telah menghalang mereka untuk memiliki rumah sendiri atau untuk menyewa rumah yang lebih selesa. Justeru itu, wujudnya kawasan penempatan-penempatan haram yang dikenali sebagai penempatan setinggan. Di Kuala Lumpur, kawasan setinggan yang wujud seperti seperti di kawasan Kampung Pantai Dalam, Kampung Datuk Keramat, Kampung Baru dan beberapa kawasan setinggan yang lain. Sehingga tahun 1980, sejumlah 25,000 pemohonan rumah murah masih menunggu giliran untuk mendapatkannya. Menurut laporan Suruhanjaya Ekonomi bagi Hal-Ehwal Asia dan Timur Jauh (ECAFE) dalam tahun 1970 di antara tahun 60%- 70%, penduduk bandar-bandar besar di Asia termasuk Kuala Lumpur, tidak mampu membeli rumah sendiri di pasaran terbuka tanpa bantuan daripada pihak kerajaan dan lebih kurang 40% daripadanya tidak berupaya untuk memiliki rumah sendiri walaupun daripada jenis dan harga yang termurah dalam pasaran ketika itu. Hal ini jelas menunjukkan masalah perumahan merupakan masalah yang sering terjadi di kawasan-kawasan bandar. Tambahan pula pada zaman sekarang nilai hartanah semakin tinggi.

Proses urbanisasi ini juga telah menyebabkan berlakunya masalah kemiskinan bandar serta peningkatan terhadap kadar pengangguran dalam kalangan penduduk bandar. Proses perbandaran yang pesat menyebabkan aliran migrasi penduduk terarah ke bandar berkenaan.Migrasi yang datang dari luar bandar ini memiliki kelulusan dan kemahiran yang rendah untuk diserap dalam sektor ekonomi moden. Oleh itu, penglibatan mereka dalam sektor informal membolehkan mereka memperoleh pendapatan kecil dan sukar untuk menampung kos hidup yang tinggi di bandar. Penduduk yang berpendapatan rendah di bandar terpaksa membelanjakan wang mereka untuk keperluan rumah tangga dan sewa rumah. Kesannya, kemiskinan bandar akan bertambah selain daripada pendapatan yang rendah kemiskinan juga berpunca daripada pengangguran yang wujud di sesebuah bandar. Migrasi yang berlaku sama ada migrasi dalaman atau migrasi antarabangsa merupakan penyumbang kepada masalah ini. Hal ini kerana, aliran migrasi yang terlalu ramai menyebabkan peluang pekerjaan yang wujud tidak sepadan dan tidak dapat menampung penawaran tenaga kerja yang ada. Persaingan pekerjaan antara pekerja tempatan dengan pekerja asing memburukan lagi masalah ini. Selain itu, peningkatan jumlah penduduk yang menganggur di bandar adalah disebabkan oleh kurangnya pekerjaan yang sesuai. Selain itu juga kekurangan pengalaman, tidak berpendidikan tinggi serta tidak mempunyai kemahiran yang cukup menyebabkan mereka sukar mendapatkan pekerjaan. Oleh sebab masih ramai yang tidak mempunyai kelayakkan, kemahiran dan pengalaman yang sesuai, maka keadaan ini menyukarkan pihak kerajaan untuk merancang dan menyediakan pekerjaan bagi membolehkan bantuan untuk meninggikan pendapatan dan taraf hidup mereka disalurkan.

Masalah sosial yang seterusnya ialah masalah untuk menyediakan

kemudahan-kemudahan asas. Sebahagian besar masalah perbandaran adalah berkaitan dengan penduduk, terutamanya yang berpendapatan rendah. Daripada segi sosial, pihak pemerintah terpaksa membelanjakan sebahagian besar peruntukan kewangan untuk menyediakan berbagai-bagai kemudahan asas seperti kesihatan, pelajaran, perhubungan dan sebagainya. Peruntukan yang besar bagi menyediakan kemudahan asas adalah satu beban yang boleh menimbulkan masalah kepada pihak kerajaan. Salah satu kemudahan asas yang penting ialah aspek kesihatan. Ia amat mustahak kerana sesebuah masyarakat tidak boleh maju tanpa kemudahan kesihatan yang baik. Di negara kurang maju, taraf kesihatan mereka masih mundur dan tidak memuaskan. Pertambahan penduduk yang pesat lebih menjejaskan usaha memperbaiki taraf kesihatan penduduk. Tiga faktor penting yang berkaitan dengan taraf kesihatan iaitu nisbah penduduk dengan bilangan doktor, kadar kematian bayi dan taraf pemakanan. Sebelum taraf kesihatan dapat dimajukan, taraf pemakanan mestilah ditinggikan terlebih dahulu. Secara ringkasnya, pertumbuhan penduduk menjadi faktor penghalang bagi mencapai kemajuan taraf kesihatan. Oleh itu , adalah penting untuk memperbaiki taraf kesihatan sebelum kadar kelahiran mula menurun. sekiranya kadar kesihatan bertambah baik dan penduduk menyedari akan kemajuan itu, mereka dengan sendiri mengambil langkah untuk menjarakkan kelahiran.

Dari aspek pelajaran pula, menunjukan bahawa sesebuah masyarakat boleh berdiri di kaki sendiri andainya mempunyai tenaga mahir dan terlatih. Adalah sukar untuk sesebuah negara untuk membangun jika ramai penduduknya buta huruf. Kerajaan Malaysia telah memperuntukan lebih kurang 21 peratus daripada belanjawan negara untuk pelajaran. Pembiayaan persekolahan menjadi bebanan kerajaan. Semakin banyak pelajar, semakin banyak wang mesti diperuntukan kepada pelajaran. Pelajaran adalah alat untuk memperbaiki diri dan memberi peluang kepada yang rajin dan berkebolehan untuk memajukan diri. Pertambahan penduduk yang pesat dan saiz keluarga yang besar menyebabkan banyak kes-kes keciciran dalam pelajaran. Semakin ramai penduduk yang tidak mendapatkan pelajaran, selagi itulah keadaan sosial masih belum mencapai keadalan yang wajar. Semakin ramai penduduk bandar, semakin banyak kemudahan pembelajaran yang perlu disediakan oleh kerajaan.

Pengangkutan dan perhubungan merupakan suatu kemudahan terpenting dalam bandar. Ekoran daripada proses urbanisasi yang berlaku dan pertambahan penduduk telah menyebabkan kemudahan pengangkutan awam sepeti bas, teksi dan kereta api tidak mencukupi dan tidak dapat memenuhi keperluan penduduk setempat. Hal ini telah menyebabkan penduduk lebih cenderung untuk menaiki kenderaan sendiri. Semakin ramai penduduk menaiki kenderaan sendiri telah menyebabkan lebih banyak kesesakan berlaku dan malah menyebabkan pencemaran udara dari asap kenderaan. Proses urbanisasi yang melibatkan pertambahan penduduk memerlukan kerajaan untuk mengembangkan dan menyediakan lebih banyak lagi kemudahan perhubungan seperti kemudahan awam(telefon, LRT, monorail), lebuh raya, dan sebagainya. Oleh yang demikian, kemudahan pengangkutan dan perhubungan yang lebih banyak dan moden perlu disediakan di sesebuah kawasan bandar bagi menyeimbangi keperluan dan kehedak penduduk bandar, bersesuaian dengan proses perbandarn yang berlaku dan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk bandar serta bagi membolehkan penduduk mengalami kehidupan yang sempurna dan memudahkan mereka menerima pembangunan yang berlaku.

Selain kesan yang dinyatakan di atas, terdapat juga kesan yang lain iaitu, urbanisasi menyebabkan timbulnya masalah pencemaran di persekitaran fizikal. Dalam proses perbandaran pada zaman moden ini, masalah pencemaran telah menjadi isu yang hangat dibincangkan. Masalah ini tidak hanya timbul di kebanyakkan negara maju seperti Tokyo, London dan Chicago malahan turut berlaku di negara membangun termasuklah Malaysia. Masalah ini berpunca daripada pembakaran bahan-bahan tenaga seperti minyak, arang batu dan sampah-sarap yang telah sampai ke peringkat yang membahayakan. Peningkatan kandungan karbon dioksida dan CFC dalam udara boleh menyebabkan penipisan ozon yang boleh menjejaskan kesihatan manusia. Asap dan gas beracun yang di keluarkan dari kawasan perindustrian turut mencemarkan kualiti udara dan air di kawasan sekitarnya. Sememangnya proses urbanisasi telah menimbulkan banyak masalah pencemaran termasuklah juga pencemaran bunyi bising dan bau busuk akibat kekotoran dan gas di bandar. Kegiatan menukar kawasan pertanian kepada kawasan perumahan, bangunan, jalan raya berturap, dan kawasan industri dalam proses perbandaran turut mengancam keseimbangan ekologi di kawasan bandar. Tambahan juga, kawasan berturap tar dan konkrit telah mempercepatkan aliran air kerana air tidak dapat diserap oleh tanah dan terus disalurkan ke parit, sungai dan longkang yang mengakibatkan jumlah isi padu air melebihi keupayaan saliran dan sekiranya hujan lebat berlaku ianya boleh mengakibatkan banjir kilat di kawasan tanah rendah.

Bahagian III: Penyelesaian

Kesimpulannya, berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan adalah jelas bahawa proses urbanisasi yang berlaku di sesebuah negara telah menimbulkan kesan sosial seperti masalah jenayah bandar, namun selain itu terdapat juga kesan sosial yang lain antaranya ialah masalah perumahan, masalah kemiskinan rakyat, masalah kekurangan kemudahan asas misalnya daripada aspek kesihatan, pelajaran dan pengangkutan dan perhubungan, dan juga masalah pencemaran persekitaran fizikal. Peningkatan jumlah penduduk di sesuatu kawasan juga dikatakan menjadi punca kepada permasalahan yang telah dinyatakan di atas. Oleh yang demikian, langkah yang segera sepeti penggubalan dasar dan polisi perlu di ambil bagi mengatasi permasalahan ini daripada terus berlanjutan. Penyelesaian secara menyeluruh boleh di buat melalui perancangan yang teliti bagi mengawal proses perbandaran yang berlaku untuk tempoh masa yang panjang misalnya dengan mengadakan pelan struktur dan pelan strategi yang lain seperti yang dilakukan oleh Malaysia sekarang bagi memudahkan perancangan komponen bandar untuk memajukan negara dan keselesaan rakyat.

No comments: