Wednesday, March 4, 2009

Manakah satu antara empat matlamat am yang dibincangkan diberi keutamaan dalam dasar luar Malaysia

Pengenalan

Dasar luar bermaksud idea atau tindakan yang dibuat oleh pembuat polisi untuk menyelesaikan masalah atau mempromosi sesebuah perubahan dalam polisi, sikap atau tindakan sesebuah negara atau negara lain, dalam pelaku bukan negara, dalam ekonomi antarabangsa atau dalam alam sekitar fizikal dunia(Holsti, 1995). [1]

Lebih jelas lagi, ia boleh dikatakan sebagai tindakan atau penyelesaian sesuatu masalah atau membawa perubahan dalam suasana politik antarabangsa iaitu, dari segi, sikap atau tindakan negara- negara. Ia merujuk kepada keputusan yang diambil oleh pemimpin negara untuk dijadikan garis panduan bagi memilih tindakan- tindakan yang harus diambil apabila berhadapan dengan situasi tertentu dalam hal ehwal antarabangsa. Dasar luar penting bagi sesebuah negara kerana ia mempengaruhi tingkah laku negara tersebut serta suasana hubungan politik di peringkat antarabangsa, wilayah atau serantau. Tingkah laku dasar luar merujuk kepada tindakan- tindakan yang diambil oleh negara- negara ke atas satu sama lain. Tindakan- tindakan ini bertujuan mencapai inspirasi jangka panjang atau matlamat terdekat. Tingkah laku dasar luar terdiri daripada hubungan diplomatik, penggunaan ancaman atau kekerasan, pembentukan pakatan- pakatan, pemberian bantuan asing dan pengundian dalam pertubuhan antarabangsa.[2]

Umumnya dasar luar di definisikan sebagai;

”reduce to its most fundemental ingredients; foreign policy consists of two element; national objectives to be achieved and means for achieving them. The interaction between national goal and the resources for attaining thems is the perennial subject of state craft. In its ingredients the foreign policy of all nation, great and small, is the same..”.(couloumbis & wolfe, 1986: 125)[3]

Matlamat am dasar luar

Menurut K.J. Holsti dalam bukunya International Politics:A Framework for Analysis, matlamat am dasar luar terbahagi kepada 4 iaitu keselamatan, autonomi, kebajikan serta status dan martabat.

Keselamatan atau security adalah matlamat yang wujud disebabkan perasaan takut atau bimbang pada ancaman luaran dan penentangan pihak dalam negara membuatkan kerajaan sesebuah negara meletakkan keselamatan (keselamatan nasional)sebagai matlamat utama pembentukan dasar luar mereka. Strategi yang boleh digunakan untuk memastikan keselamatan terjamin ialah isolasi, self- reliance, contracting out, neutrality and non- alignment serta alliance strategies.

Autonomi pula bermaksud kemampuan sesebuah negara membentuk dan menjalankan polisi domestik dan luar seiring dengan keutamaan kerajaan dan tidak dipengaruhi, dipaksa dan menerima arahan kuasa luar. Masalah dalam mengekalkan autonomi sesebuah negara terutama negara- negara membangun adalah kesulitan doktrin kedaulatan di mana negara- negara membangun umumnya berdaulat akan tetapi sistem ekonomi antarabangsa menyekat ekonomi mereka dengan syarat dan terma yang ketat dan tidak menguntungkan mereka. Selain itu, hakisan autonomi menjadi trend sistem global di mana apabila sesebuah negara terlibat dalam pakatan dan deklarasi neutraliti yang mana ia telah menyekat kuasa mereka dalam membuat keputusan dan tindakan. Namun sesebuah negara itu boleh dikukuhkan dengan membangunkan kuasa ketenteraan, saintifik, ekonomi dan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap pihak luar.

Kebajikan pada dasarnya memberi bantuan tidak kira dalam apa jua bentuk dengan tidak mempunyai objektif lain selain untuk meringankan bebanan tapi hakikatnya pada masa kini, bantuan yang diberikan adalah seringkali ia mempunyai serampang dua mata. Dalam pada masa yang sama, negara pemberi bantuan ini akan menggunakan peluang ini sebagai platform untuk promosikan negara mereka di mata dunia dan secara tidak langsung mereka memperolehi kawasan baru untuk memasarkan barangan negara mereka disamping mengeksploitasi sumber mineral dan alam semula jadi negara yang dibantu. Terdapat dua kategori negara kebajikan iaitu unilateral di mana negara tersebut menyalurkan bantuan terus dari negaranya ke negara penerima dan multilateral iaitu bantuan disalurkan melalui badan- badan antarabangsa seperti PBB.

Manakala status dan martabat pula adalah faktor di mana sesebuah negara ingin mendapatkan penghormatan selain ingin menggerunkan negara lain. Faktor ini dapat dicapai melalui penonjolan negara tersebut dalam beberapa bidang seperti kuasa ketenteraan, amalan politik, sains dan teknologi, simbol visual dan sukan.[4]

PRINSIP-PRINSIP PENENTUAN DASAR LUAR MALAYSIA

Malaysia mempunyai beberapa prinsip atau tafsiran yang menjadi panduan dalam membentuk dan melaksanakan dasar luarnya. Antara prinsip-prinsip yang diamalkan ialah:-

Pertama, negara kita terletak dalam kawasan yang mustahak dari sudut geopolitik di rantau Asia-Pasifik. Sebagai sebuah negara yang terletak di persimpangan dua jalan yang penting, iaitu Lautan India dan Lautan Pasifik yang kaya dengan sumber galian seperti minyak, bererti kedudukan negara kita adalah penting dari segi kestabilan dan

keselamatan di rantau Asia-Pasifik.

Kedua, Malaysia sendiri mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonominya berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini akan membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara sentiasa bergolak dengan permasalahan politik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi dan politik negara.

Ketiga, Malaysia amat berpegang teguh dengan konsep Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kewujudan sistem antarabangsa di mana semua negara dapat

hidup aman dan damai. Berasaskan kepada kepercayaan ini, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan memberikan sumbangan yang bermakna terhadap PBB melalui penyertaan penuh semangat dalam agensi-agensi PBB seperti UNESCO dan UNCTA D. Malaysia juga memberikan sokongan terhadap orde baru Ekonomi Antarabangsa dan kegiatan-kegiatan Negara-Negara 77 untuk mencapai keadilan dalam sistem perdagangan yang selama ini memihak kepada negara maju sahaja.

Keempat, Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel. Pada tahun 1989 Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM). Pertalian erat yang ditunjukkan dalam penglibatan negara Komanwel diperkukuhkan dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sukan Komanwel yang telah berlangsung pada September 1998.

Kelima, sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam agama rasmi, Malaysia telah menjalinkan hubungan yang erat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Malah, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama OIC. Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara Islam sebagai salah satu asas hubungan luarnya.[5]

Matlamat utama Malaysia

Arus globalisasi tidak memungkinkan sesebuah negara menyisihkan diri(isolationist) dengan negara lain. Selain daripada urusan perdagangan, sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat perlu membentuk dasar luar kerana ia melibatkan aspek pertahanan, agar terselamat daripada sebarang ancaman yang mungkin ditimbulkan oleh anasir asing.

Malaysia telah lama meletakkan keselamatan sebagai matlamat dasar luarnya iaitu sejak negara kita mendapat kemerdekaan dari British pada tahun 1957. Ini terbukti apabila termeterainya Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu- British yang dikenali sebagai Anglo- Malaya Defence Agreement(AMDA) bersama United Kingdom yang mana Britian menjamin pertahanan Malaya(Malaysia pada masa itu) yang berhadapan dengan masalah serangan komunis dan darurat(1948-1960) serta Konfrontasi Indonesia(1962-1966) yang tercetus akibat rancangan penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963. Indonesia tidak bersetuju akan pembentukan ini kerana mereka takut Malaysia akan wujud sebagai neo-kolonial. Antara sebab lain negara kita menjalinkan kerjasama keselamatan kerana Malaysia pada masa itu adalah negara yang baru menerima kemerdekaan jadi, dari aspek pertahanan adalah masih lemah dan tidak mempunyai anggota keselamatan dan senjata yang mencukupi. Malah kedudukan Malaysia yang terletak di tengah- tengah laluan timur dan barat menyebabkan ia amat terdedah dengan ancaman luar.[6] Sejarah ini dapat dilihat semasa zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman(1957-1970). Malah Tunku pada masa itu juga seorang yang mengamalkan dasar pro- barat dan anti-komunis kerana, salah satu sebab yang mempengaruhi beliau adalah, beliau mendapat pendidikan di barat dan telah mengamalkan cara hidup barat. Selain itu juga, pengalaman pendudukan komunis sebelum merdeka yang telah menyiksa dan melakukan kekejaman menyebabkan negara kita tidak mahu menjalinkan hubungan dengan negara- negara beraliran fahaman komunis.

Kesinambungannya dapat dilihat semasa zaman pemerintahan Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn yang mana pada masa itu Malaysia menukar dasarnya ke arah berpendirian berkecuali kerana tidak mahu negara tersepit dalam pergolakan antarabangsa. Pada tahun 1974, ASEAN telah mengeluarkan Deklarasi Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali atau Zone of Peace, Freedom and Neutrality(ZOPFAN) yang amalkan dasar berkecuali dan anti nuklear. Malah, Malaysia telah menyertai pergerakan negara- negara berkecuali(NAM) dan mengiktiraf Republik Rakyat China(RRC).[7]

Memasuki era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamed, beliau telah mengubah dasar luar Malaysia secara retoriknya anti- barat, terutama terhadap Amerika Syarikat yang mana pada zaman tersebut telah berlakunya krisis mata wang di Asia yang menyebabkan negara mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk akibat spekulasi mata wang yang telah dilakukan oleh George Soros pada tahun 1998. Menurut Tun, negara- negara barat hanya mahu mengeksploitasi sumber dan menjerumuskan negara membangun dalam permasalahan yang membantutkan proses pembangunan negara serta mengekalkan negara terus berada dalam keadaan yang tidak stabil melalui penawaran pinjaman IMF, namun Malaysia dengan tegasnya telah menolak. Tun telah membuatkan dasar luar Malaysia pada zaman pemerintahan beliau berbentuk Dasar pandang ke timur yang mana pada masa itu negara seperti Jepun dan China semakin maju dan menjadi kuasa ekonomi yang besar di Asia, malah telah membuka mata dunia dan negara kita. Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap negara- negara barat. Walau bagaimanapun, Tun tetap menjalinkan kerjasama erat dengan negara barat untuk membanteras jenayah antarabangsa dalam serangan 11 September 2001.[8]

Kini, di bawah pemerintahan Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, hubungan negara dengan negara- negara barat semakin dipereratkan. Namun disebalik hubungan yang baik itu, Malaysia tetap dengan pendiriannya yang enggan mengiktiraf Israel. Hal ini menjadi isu berikutan penyertaan Malaysia dalam angkatan pengaman PBB berikutan krisis Israel- Lubnan pada tahun 2006.[9]

Malaysia mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonomi berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini akan dapat membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara yang sentiasa bergolak dengan masalah politik akan menyebabkan ekonomi dan keamanan Malaysia turut tergugat. Misalnya isu golongan minoriti islam di Thailand dan ketidakstabilan politik dan ekonomi di Indonesia. Ini menyebabkan Malaysia telah membuat dasar mengamankan jiran atau dasar “prosper-thy-neighbour. Dasar ini bertujuan untuk pemulihan ekonomi dan mewujudkan keamanan dalam rantau Asia Tenggara.

Apa yang dapat dilihat pada masa kini, dasar luar Malaysia lebih berfokus kepada pembangunan ekonomi. Malaysia sedang berusaha menjadi negara maju dan meningkatkan sektor perindustrian menjelang tahun 2020. Dasar “prosper-thy-neighbour” juga telah menggunakan AFTA (Asean Free Trade Agreement) sebagai saluran untuk menyegerakan dan mengembangkan perdagangan negara. Selain itu juga Malaysia telah membentuk kawasan zon bebes perdagangan bagi menggalakkan perdagangan bebas sejajar dengan apa yang dilaungkan oleh negara- negara maju.[10]

Matlamat- matlamat am lain

Selain menumpukan kepada matlamat utama, Malaysia juga perlu memberi perhatian kepada matlamat- matlamat am yang lain. Ini bagi memastikan bahawa kemajuan dan pembangunan negara semakin akan terjamin.

Autonomi

Malaysia mula mengambil alih tanggungjawab menjaga hal ehwal dalam dan luar negaranya sebaik sahaja mencapai kemerdekaan pada 31 ogos 1987. Sebelum ini, segala urusan berkaitan negara termasuklah menentukan dasar luar negara ditentukan oleh penjajah atau kuasa kolonial iaitu British. Kemerdekaan telah memberi ruang dan peluang kepada negara untuk membuat keputusan berhubung dengan polisi hubungan luar negara yang akan dibentuk. Sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat tidak dapat mengelak daripada mengadakan hubungan dengan negara lain.

Namun begitu, sebagai negara yang tergolong dalam kelompok negara dunia ketiga atau lebih jelas lagi negara membangun, kita seringkali terpaksa mengikut terma- terma yang dibuat oleh pertubuhan antarabangsa dan sistem ekonomi dunia. Apa yang boleh kita katakan di sini, Malaysia masih mempunyai autonomi kerana kita mempunyai hak menentukan keputusan yang akan di ambil dalam menggubal dasar- dasar dan tindakan negara sama ada mahu mengikut, menolak, menangguh dan sebagainya. Walaupun negara- negara kuasa besar cuba mempengaruhi dan seakan- akan memaksa kita mengikut telunjuk dan aturan mereka, kita sedaya upaya cuba untuk mempertahankan autonomi kita dan membuat keputusan yang wajar untuk kebaikan negara.

Sebagai contoh kita boleh merujuk kepada krisis ekonomi yang melanda negara- negara di Asia pada tahun 1998. Malaysia dengan tegasnya menolak bantuan dari IMF dalam mengatasi masalah kegawatan ekonomi dan ketidak stabilan mata wang negara pada masa itu. Untuk keluar dari kemelut ini, negara ASEAN, khususnya Malaysia memulakan pelbagai langkah makroekonomi dan reformasi kewangan. Tindakan awal Malaysia adalah menerapkan pendekatan ala IMF namun ia memburukkan lagi keadaan ekonomi dan gagal mengembalikan keyakinan pelabur asing. Malaysia akhirnya membuat keputusan sendiri di mana Malaysia menubuhkan Rancangan Pemulihan Ekonomi Negara(NERP) bagi menjauhkan ringgit dari jangkauan spekulator mata wang, ini bagi memastikan penjualan jangka pendek pasaran Malaysia berakhir dan kejatuhan nilai mata wang dihentikan. Langkah yang dilakukan untuk menghidupkan semula ekonomi dengan menurunkan kadar faedah, meningkatkan kecairan, memodalkan semula bank dan menguruskan NPL dan ia dilihat berjaya menghentikan kegawatan dan memulihkan ekonomi tanpa penerimaan bantuan dari IMF ketika mana negara- negara peminjam IMF masih belum pulih.[11]

Kebajikan

Dengan kepentingan negara diperingkat antarabangsa semakin menyeluruh, Malaysia telah menyertai pelbagai badan antarabangsa dengan berpegang teguh kepada prinsip PBB dan multilateralisme yang menekankan bahawa tujuan organisasi tersebut ialah untuk kekalkan keselamatan dan keamanan dunia, malah keahlian dalam PBB terbuka kepada mana- mana negara yang cintakan keamanan sejagat.

Malaysia menjadi salah sebuah negara kebajikan dan menunjukkan betapa negara kita amat prihatin terhadap permasalahan dunia, bantuan diberikan tidak hanya dalam badan multilateral malah secara personal. Sepertimana yang kita ketahui, negara kebajikan ini bukan hanya mempunyai matlamat untuk membantu malah, mereka mempunyai maksud yang tersirat disebalik bantuan dan keprihatinan yang ditunjukkan. Bantuan yang diberikan bukan semata- mata atas dasar kemanusiaan akan tetapi turut bertujuan untuk memenuhi keperluan dan kepentingan negara kebajikan itu sendiri. Salah satu tujuan yang tersirat adalah untuk mendapat penghormatan, penghargaan dan dikenali dunia. Selain itu, negara kebajikan ini juga dapat mengukuhkan hubungan diplomatik dengan negara yang dibantu dan dalam masa yang sama dapat mengakses dalam pasaran negara tersebut dan mahu mengeksploitasi sumber mineral yang terdapat di negara yang dibantu.

Merujuk kepada Malaysia, apa yang kita dapat lihat Malaysia telah menerima buruh asing dari beberapa negara jiran yang kita ketahui mereka mempunyai masalah kemiskinan dan pengangguran yang tinggi, misalnya Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan sebagainya.[12] Selain untuk membantu meringankan beban negara asal buruh asing tersebut dengan adanya penawaran pekerjaan di negara kita, dalam pada masa yang sama kedatangan buruh asing ini dapat membantu pembangunan dalam beberapa sektor ekonomi negara misalnya pembinaan, pembantu rumah, perindustrian dan sebagainya.

Status dan martabat

  1. kuasa ketenteraan

Malaysia bukanlah negara yang kuat dari segi ketenteraannya tapi Malaysia sering mengikuti misi pengaman PBB. Penglibatan ini sedikit sebanyak menunjukkan komitmen Malaysia dalam mengekal dan memelihara keselamatan antarabangsa. Disebabkan Malaysia bukanlah negara yang mempunyai ketenteraan yang kuat jika mahu disamakan dengan Amerika Syarikat. Jadi fokus utama Malaysia lebih kepada kebajikan dan menjadi salah sebuah dari negara yang menjadi ’welfare state’ yang membuka mata dunia. MERCY misalnya jelas menunjukkan komitmen Malaysia diperingkat antarabangsa.

  1. sains dan teknologi

Dalam aspek ini, teknologi dan kepakaran Malaysia tidak setanding dengan negara- negara seperti Jepun, Rusia dan sebagainya. Namun, Malaysia telah diiktiraf dan telh dilantik sebagai pengerusi kepada pasukan petugas khas bagi visi 1411 untuk sains dan tetap sains dan teknologi bagi negara- negara OIC(COMSTECH) ke arah pembangunan bidang tersebut. Misi penghantaran angkasawan negara yang pertama ke bulan, Dato’ Dr. Sheikh Muzaffar baru- baru ini, iaitu pada tahun 2007, telah menaikkan lagi nama negara dan menunjukkan kepada dunia bahawa negara juga telah mencapai tahap sepertimana negara lain.

  1. simbol visual

Malaysia mempunyai KLCC iaitu bangunan yang tertinggi di Asia Tenggara yang di bina menggunakan wang hasil keuntungan penjualan minyak negara. Selain itu, Malaysia juga mempunyai jambatan yang terpanjang, juga di Asia Tenggara, iaitu jambatan pulau pinang yang merentasi lautan.

  1. sukan

Malaysia telah mencipta nama melalui Dato’ Nicol Ann David yang merangkul gelaran juara dunia selama 5tahun beturut-turut dalam sukan squasy. Kejayaan ini menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Kesimpulan

Walaupun Malaysia pada awalnya lebih menumpukan matlamat dasar luarnya terhadap pertahanan dan keselamatan negara, namun peredaran masa memperlihatkan Malaysia mula mengalihkan matlamat utama negara dengan memberi penumpuan terhadap pembangunan dan kemajuan ekonomi. Di samping itu, Malaysia bukan sahaja berfokus pada matlamat utama negara namun turut memberi penumpuan kepada matlamat- matlamat am dan khas yang lain. Ia bertujuan bagi memastikan kelangsungan negara bergerak seiring dengan peredaran masa dan bagi memastikan Malaysia dapat merealisasikan impian untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.



[1] K. J. Holsti (1995). International Politic: A Framework for Analysis (page 83)

[2] Mokhtar Mohammad (2005). Perhubungan Antarabangsa: Konsep dan Konteks. (page 46)

[3] Ibid 2(page 47)

[4] K. J. Holsti (1995). International Politic: A Framework for Analysis. (page 84-108)

[5] Modul12: Dasar Luar dan Dasar- dasar Utama Kerajaan. (page 203-204)

[6] Mustafa Ishak & Afifi Abdul Razak (2006). Politik dan Pemerintahan Negara.

[7] Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan 1982. INTAN.

[8] Hashim Makaruddin (2003). Kerjasama Serantau dan Ekonomi Digital. (page 5-8)

[9] Ibid 7

[10] Hashim Makaruddin (2003). Kerjasama Serantau dan Ekonomi Digital. (page 15-19)

[11] Hashim Makaruddin (2003). Kerjasama Serantau dan Ekonomi Digital. (page 6-7)

[12] Richard Leete (1996). Malaysia’s Demographic Transition: Rapid Development, Culture and Politics.

No comments: