Wednesday, March 4, 2009

Suharto sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan Indonesia telah mengubah dasar luar Indonesia dari sifat radikal kepada pro-Barat.

Pengenalan: Konsep- konsep penting

Pro- barat:

Sesebuah negara yang memihak atau mengikut negara barat sebagai panduan dalam membuat dasar luarnya. Boleh juga dikatakan sebagai negara yang cuba berbaik- baik dengan pihak barat untuk mencapai matlamat dasar luarnya iaitu memenuhi kepentingan negaranya. Lebih jelas lagi sekiranya dikatakan kebergantungan terhadap negara- negara barat.

Radikal / pro- komunis:

Radikal bermaksud ekstrim atau tindakan yang melampaui. Sesebuah negara yang bertindak keterlaluan sehingga membawa kepada konflik hubungan dengan negara- negara yang berlainan fahaman politik dan menyebabkan negara terdedah dengan pelbagai ancaman dari luar.

Dasar Luar:

Merujuk kepada pendefinisian yang diberi oleh K.J Holsti melalui penulisannya dalam buku International Politics: A Framework For Analysis menyatakan bahawa dasar luar merupakan idea atau tindakan yang dibuat oleh pembuat polisi untuk menyelesaikan masalah atau mempromosi sesebuah perubahan dalam polisi, sikap atau tindakan sesebuah negara atau negara lain, dalam pelaku bukan negara, dalam ekonomi antarabangsa atau dalam alam sekitar fizikal dunia.

Dasar Luar Era Sukarno:

Sukarno merupakan seorang pemerintah yang menjalankan dasar luar yang berbentuk radikal, anti- barat, berkecuali dan lebih condong kepada fahaman politik komunisme. Radikal yang dimaksudkan di sini adalah kekuatan semangat nasionalisme dalam diri beliau disamping hubungan baik dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang mempengaruhi tindakan beliau sebagai contoh dalam aspek politik, dasar luar Indonesia pada masa itu telah mengajurkan revolusi tanpa henti dalam menentang dan memerangi segala bentuk pengeksploitasian dan penjajahan yang dilakukan oleh pihak luar terutamanya kuasa barat di Indonesia serta menyokong revolusi yang dijalankan di negara- negara lain bagi mencapai kemerdekaan. Malah beliau juga telah mengisytiharkan konfrontasi ke atas Malaysia yang dianggap beliau sebagai satu bentuk neocolonialism, menghak milikkan harta milik penjajah di Indonesia, membuat keputusan keluar dari PBB dan sebagainya yang menjadi bukti dasar luar beliau yang radikal.

Jika dilihat dalam aspek ekonomi dan keselamatan, kita dapat merumuskan bahawa Indonesia semasa pemerintahan Sukarno lebih mendapat bantuan dan sokongan dari PKI untuk memerangi neocolonialisme (dasar penjajahan bentuk baru), colonialisme (dasar penjajahan) dan imperialisme (fahaman penjajah), maka wujudnya hubungan “Jakarta- Phnom Penh- Beijing- Hanoi-Pyong Yang axis” iaitu pakatan negara- negara berfahaman komunis- sosialis.[1] Malah dapat dilihat Soviet Union merupakan pembekal kepada bantuan ketenteraan dan ekonomi Indonesia serta hubungan baik dengan China melalui pegawai pemerintahan dan PKI semasa 1964-1965. Sukarno juga memperkenalkan ‘demokrasi terpimpin’ dan kabinet 100 menteri- NASAKOM (pemerintahan majmuk yang disertai golongan Nasionalis, Agama, dan Komunis) bagi menghalang pemberontakan rakyat dan menghalang kemasukan pengaruh barat.

Namun disebalik usaha- usaha yang dijalankan, terdapat kelemahan dalam pemerintahan Sukarno di mana ketaksuban beliau menjalankan revolusi dan meningkatkan pembangunan persenjataan dan ketenteraan, sehingga beliau kurang menekankan aspek pembangunan ekonomi dan memperbaiki kemudahan infrastruktur rakyat. Malah secara politik beliau tidak mengendalikan militer secara penuh dan menyebabkan berlakunya KUDETA serta rakyat bangkit memberontak menyebabkan keadaan huru hara. Akhirnya atas desakan dari pelbagai pihak, Presiden Sukarno mengeluarkan Surat Perintah 11 Mac 1966 yang dikenali sebagai SUPERSEMAR membawa kepada peralihan kuasa beliau kepada Jeneral Suharto untuk mengembalikan semula ketenteraman dan kestabilan pemerintahan.[2]

Dasar Luar Era Suharto: mengapa berubah menjadi pro- barat?

Jeneral Suharto sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan Indonesia telah mengubah dasar luar Indonesia dari sifat radikal kepada pro-Barat disebabkan beliau ingin memajukan ekonomi Indonesia disamping menjamin keselamatan dan kelangsungan politik negara dari ancaman dalam negara (masyarakat tempatan) dan luar negara (masyarakat antarabangsa).

Perubahan dan usaha Suharto

Selepas berlakunya peristiwa Gerakan 30 September 1965 (G- 30- S/ GESTAPU), kebanyakan kerajaan negara bukan komunis terutama negara barat ingin melihat Suharto mengubah dasar luar Indonesia dari pro- komunis kepada menyertai apa yang dipanggil ‘non- communist developing world’.[3] Menurut John Legge dalam penulisannya Biography of Sukarno, 1972 :

‘Perhaps because it was Communist who were being killed…….’

‘………the conscience of the outside world seemed comparatively undisturbed by what must rank, in any assessment, as one of the bloodiest massacres in modern history.’ (page 399) [4]

Kenyataan ini menunjukkan tidak ada sesiapapun (diplomat barat yang berada di Jakarta) yang dapat meramal apakah tindakan Suharto pada masa itu. Apa yang dapat dilihat, beliau berusaha untuk memulihkan dan memulakan usaha memajukan ekonomi.

Peristiwa GESTAPU yang telah membawa kepada tragedi pembunuhan 6 Jeneral Angkatan Tentera Indonesia di Lubang Buaya, membuatkan sokongan penduduk Indonesia terhadap Sukarno dan Parti Komunis Indonesia (PKI) semakin berkurangan. Ini berikutan pendirian Sukarno apabila di tanya menyatakan ‘terserahlah’ yang menunjukkan tindakan berdiam diri dan lepas tangan Sukarno akan peristiwa tersebut membuatkan masyarakat beranggapan Sukarno turut terlibat.[5] Rakyat menjadi marah dan bertindak membantu ARBI membawa ahli Parti Komunis Indonesia (PKI) dan orang-orang yang yang disyaki terlibat dalam pembunuhan di Lubang Buaya ke Mahkamah Militer Luar Biasa (MAHMILUB).[6] Peluang ini telah memudahkan Suharto bagi menyebarkan dasar- dasar pemerintahannya yang baru. Maka beliau telah menandakan zaman pemerintahan beliau sebagai ‘Orde Baru’.

Semasa pemerintahan Sukarno, keadaan ekonomi Indonesia kurang dititik beratkan kerana Sukarno lebih memberi fokus terhadap pembangunan pertahanan dan keselamatan negara. Pelaburan negara lebih tertumpu kepada kempen konfrontasi dan perjuangan di Irian Barat. Menurut Micheal R. J. Vatikiotis dalam bukunya, Indonesian Politics Under Suharto: Order development and pressure of change, 1993:

‘ Sukarno left the country with a negative growth rate, 600 per cent inflation, no foreign reserves to speak of, and a national debt of over $US2 billion. It is scarely surprising then that Suharto and his army colleagues could safely place economic above political development’. (page 33)

Era pasca peralihan kuasa ini juga menyebabkan Suharto terpaksa menjelaskan hutang yang datang dari ‘Sukarno’s bankrupt foreign policy’ dan memaksa beliau menangguhkan tempoh pembayaran hutang kepada Russia dan blok timur.[7]

Pada tahun- tahun awal New Order, ia merupakan tempoh masa yang sukar bagi Suharto bagi memelihara kestabilan, meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan Indonesia. Beliau masih melaungkan semangat revolusi untuk mencapai kemerdekaan dan menggunakan retorik ‘beras’ kepada masyarakat sebagai lambang pembangunan ekonomi. Suharto melihat kekukuhan legitimasi politik hanya akan tercapai sekiranya berjaya mengembalikan negara kepada penduduknya, maka beliau telah memperkenalkan demokrasi pancasila dalam pentadbiran beliau yang bertindak memperbetulkan Orde Lama Sukarno.[8]

Bantuan luar mula masuk terutama setelah penubuhan Inter- Government Group on Indonesia (IGGI) bagi membincangkan masalah hutang lama dan pelaburan luar Indonesia serta pengenalan kepada Foreign Investment Law mengukuhkan lagi polisi ekonomi regim pemerintahan baru ini.[9]

Catatan menunjukkan Amerika Syarikat merupakan salah satu ‘creditor nations’ yang telah cuba mencari jalan dalam program bantuan kepada Republic Indonesia. Sepertimana yang diperkatakan dalam buku ‘A Study in Political Violence: The Indonesian Experience’ menyebut:

‘Among the Western creditors, the U.S. played an energetic, if publicly somewhat restrained, role on Indonesia’s behalf. Wary of fostering another client- state relationship in Southeast Asia, Washington responded to the March 11 transfer of power with rather limited credits of $25 million for rice and cotton. By September the ealier restraint seemed to dissipate. Additional emergency credits of nearly $40 million were approved and President Jonhson made way for allocation of new AID funds to Indonesia by declaring that such was in the national interest’.(page 83)

Dengan adanya bantuan, pelaburan dan pinjaman luar dari barat telah membantu ekonomi Indonesia pada masa itu di mana inflasi di Indonesia mula menunjukkan pengurangan dari 600% pada tahun 1966 kepada 120% dan secara tidak langsung mencapai kestabilan dan pertumbuhan ekonomi. Jelasnya, kesemua usaha yang dibuat secara amnya merupakan kepelbagaian program ad hoc untuk mengurangkan pembaziran dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, Indonesia masih mengalami masalah kewangan dan hutang lama, ini memaksa Indonesia bergantung banyak kepada negara barat jika mahu keluar dari permasalahan ekonomi. Bagi Indonesia, adalah penting untuk memastikan negara- negara industri (negara- negara barat) memberi bantuan kewangan tanpa membawa isu pemulihan fiskal ini dalam kancah perang dingin.[10]

Dari segi pentadbiran, Suharto menyusun semula menteri kabinetnya. Walaupun penguasaan politik oleh para militer[11], namun Suharto telah melantik beberapa orang pakar ekonomi yang berpendidikan barat sebagai penggubal dasar ekonomi orde barunya. Pakar ekonomi dari Universiti Indonesia ini dari golongan teknokrat yang dikenali sebagai Berkeley Mafia’ bersempena tempat mereka mendapat pendidikan iaitu di University of Carlifornia, Berkeley, Amerika Syarikat. Mereka ini turut dikenali sebagai ejen kapitalis Amerika Syarikat dalam bidang ekonomi. Golongan teknokrat ini bertindak sebagai penyumbang idea dan mencadangkan tindakan yang sewajarnya diambil oleh Suharto dalam menangani masalah ekonomi melalui Program Pembangunan Nasional.[12]

Bantuan golongan teknokrat ini, dapat mengurangkan inflasi pada tahun- tahun berikutnya. Kestabilan dan pembangunan ekonomi semakin berkembang. Kejayaan ini disebabkan golongan teknokrat ini hanya berfokus dan bertindak mengikut prinsip- prinsip ekonomi semata- mata. Mereka tidak mencampuri urusan pentadbiran (politik) negara kerana rata- rata mereka kurang berpengetahuan mengenai politik. Ia diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Emil Salim melalui artikel penulisan beliau, ‘Mencari Kearifan Masa Lalu’ menyebut:[13]

‘ keliru besar jika sarjana ekonomi kemudiannya menjadi kuraptor. Sarjana ekonomi harus berfikir, bekerja dan mengabdi dengan landasan hati nurani’.

Golongan teknokrat ini juga akan berbincang dengan petugas IMF bagi tujuan untuk menyeimbangkan belanjawan, mengendalikan hutang, membuat mekanisme kadar pertukaran mata wang, menyekat kredit, membina semula infrastruktur dan membangunkan produktiviti agrikultur.[14]

Bagi Suharto, dengan wujudnya ahli cabinet barunya, secara rasmi berakhirnya zaman 100 menteri- NASAKOM dan program revolusi tanpa penghujung yang didasari oleh Sukarno.

Pada era pemerintahan Sukarno yang lalu, beliau bersama- sama PKI bertindak penguasaan Belanda dengan cara menyita dan menasionalisasikan aset- aset milik Belanda yang berada di Indonesia. Tindakan ini berikutan kemenangan PKI memperoleh kursi dari 17 kepada 39 dalam pilihanraya 1955. Ini mencerminkan sokongan rakyat pada masa itu kepada kepimpinan Sukarno dan PKI serta gambaran tidak percaya rakyat akan janji kemerdekaan palsu Belanda. Pada 1957, semua kilang fabrik, kebun, bank dan kapal- kapal laut Belanda dirampas dan diduduki malah bendera Belanda digantikan dengan bendera Indonesia di bangunan rasmi. Tindakan ini menimbulkan rasa marah pihak Belanda dan Indonesia telah berjaya mengusir Belanda dari terus menduduki Irian Barat. Namun di bawah pemerintahan Suharto, hubungan Indonesia- Belanda dapat dipulihkan. Buktinya, apabila Suharto secara terbuka menyatakan pendirian Indonesia untuk hentikan konfrontasi ke atas Malaysia, Indonesia telah mendapat bantuan kewangan dari Belanda untuk memajukan dan membangunkan Indonesia.

Indonesia di bawah pentadbiran Suharto juga telah memperluaskan hubungan antarabangsanya dengan mengubah dasar luar yang sebelumnya condong dan agresif serta akrab dengan China kepada lebih mendekati atau pro- barat terutama Amerika Syarikat. Berikutan itu, beliau memutuskan untuk menamatkan hubungan Jakarta- Hanoi- Beijing- Pyiong Yang Axis.[15] Hal ini berlaku kerana Suharto mengesyaki bahawa China merupakan kuasa yang mendalangi GESTAPU melalui penyaluran bantuan persenjataan dan sokongan kuat ke atas PKI dalam mempengaruhi pemerintahan Indonesia pada zaman pemerintahan Sukarno yang lepas. Malah turut dikaitkan dengan isu pembunuhan 6 jeneral di Lubang Buaya.[16] Awal zaman pemulihan Suharto, dasar luar Indonesia yang lebih pro- barat ini telah meretakkan lagi hubungan Indonesia- China di mana kedua- dua negara ini telah mempraktikkan ideologi politik yang berbeza.

Mengikut sejarah, Indonesia- Amerika Syarikat mempunyai hubungan yang baik di mana Indonesia menyertai Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) dan menjadi ahli Majlis Keselamatan pertubuhan antarabangsa tersebut. Namun disebabkan protes Indonesia ke atas keanggotaan Malaysia dalam PBB sekaligus perlantikan sebagai ahli majlis keselamatan PBB, maka Sukarno telah mengambil tindakan keluar dari keahlian PBB pada 7/1/1965.[17] Bagi Sukarno Malaysia hanya boneka barat dan konsolidasi Malaysia hanya akan menambahkan penguasaan penjajah barat di rantau Asia. Tindakan ini membuatkan Indonesia terasing dengan dunia luar dan terdedah kepada ancaman dan serangan kerana negara ini tidak lagi mendapat perlindungan dari ahli PBB sekiranya diserang musuh. Hal ini telah membawa Suharto untuk menyertai semula PBB pada 28/9/1966 sekaligus merupakan ahli ke-60. Berdasarkan kenyataan Sujono yang dipetik dalam buku ‘ The Smiling General’, Suharto menjawab persoalannya mengenai pendirian Indonesia untuk menyertai badan dunia tersebut dan Suharto menjawab ringkas; ‘masuk’.[18] Ini bertujuan memudahkan Indonesia mendapat bantuan dari negara- negara ahli dalam aspek keselamatan merujuk kepada deklarasi keanggotaan PBB disebutkan bahawa mana- mana negara ahli yang diserang musuh akan dibantu oleh ahli yang lain dan sudah tentu pengaruh Amerika Syarikat turut diharapkan kerana merupakan kuasa ketenteraan dan ekonomi terkuat di dunia, juga akses kepada bantuan dan pinjaman ekonomi dari IMF, World Bank dan FDI dari negara ahli. Jika dilihat dalam aspek ekonomi, Indonesia bergantung kepada Jepun, Amerika Syarikat dan negara- negara Eropah Barat untuk mendapatkan bantuan pembangunan dan pelaburan.

Langkah seterusnya, Suharto telah menamatkan konfrontasi[19] Sukarno ke atas Malaysia yang mana telah menyebabkan pembaziran peruntukan dan menyebabkan hutang negara terhadap blok timur meningkat dan menjejaskan hubungan Indonesia dengan masyarakat antarabangsa terutama barat yang mana telah menyebelahi Malaysia semasa zaman konfrontasi, misalnya Australia, New Zealand dan Canada telah memberi bantuan persenjataan manakala Britian memberi bantuan ketenteraan.[20] Melalui rundingan Menteri Luar Indonesia, Adam Malik dengan Perdana Menteri Malaysia pada masa itu Tun Abdul Razak bersama Menteri Luar Negaranya, Ghazali Shafie maka tanggapan Indonesia sebagai ‘bellicosity’[21] dapat disangkalkan. Seperti yang dipetik dalam buku ‘The Smiling General’:

‘…to assure the Malaysian Government and its British sponsors that the support of the Indonesian Armed Force for the conflict was neither born of nor conducted with enthusiasm, and that it had no wish for a more intense level of conflict, and to seek ways of opening discussion with the Malaysian about ending the dispute’.(page 92-93)

Tujuan utama untuk memberitahu bahawa tindakan pemimpin Indonesia sebelum ini (Sukarno) disebabkan semangat yang melampau dan kini Indonesia tidak berminat untuk melanjutkan konflik dan cuba mencari jalan penyelesaian melalui rundingan dua hala sekaligus menghentikan perbalahan.

Malah Indonesia turut menyatakan pengiktirafan ke atas Malaysia melalui petikan dari ‘The Smiling General’ yang menyebut:

‘From the time or the formation of new cabinet at the end of march 1966, Suharto, employing carefully guarded rethoric, began to move publicly to bring the conflict to a close and restore normal relation with Malaysia if the people of North Borneo really fouvered it. The confrontation policy, in suharto’s view, : “was only a PKI tactic to involve us in as many confrontations as possible so that the PKI could accumulate strength and finally revolt and seize power”.’(page 147)

Dasar luar Indonesia pada tahun 1966 lebih fokus kepada isu- isu serantau. Bagi memastikan tidak berulangnya lagi konfrontasi, maka Indonesia- Malaysia- Thailand telah menubuhkan ASEAN 8 Ogos 1967 yang tidak berasaskan ideologi dan bukan pakatan ketenteraan sebagai meja rundingan sekiranya berlaku sebarang masalah. Selain itu negara- negara ASEAN menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyebelahi mana- mana pihak yang bertelingkah dalam perang dingin dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan semua negara. Pada awalnya ASEAN hanya dianggotai oleh 5 buah negara termasuk Singapura dan Filipina namun kini keahliannya telah meningkat menjadi 10 buah negara. Deklarasi ASEAN juga dilihat menumpukan perhatian kepada permasalahan- permasalahan dalam lingkungan rantau ini sahaja iaitu pembangunan sosial, budaya, ekonomi, taraf hidup,meningkatkan kefahaman serantau, keamanan dan kestabilan rantau serta kerjasama untuk kepentingan bersama antara negara- negara ahli ASEAN, pertubuhan rantau yang lain dan organisasi antarabangsa yang mempunyai objektif dan tujuan yang sama dengan ASEAN.

Sepertimana yang kita ketahui, Indonesia merupakan ahli Non- Align Movement (NAM) sejak tahun 1961, maka dasar luar Indonesia sejak dari dahulu lagi dilihat memegang prinsip menjauhi konflik antara Soviet Union dan Amerika Syarikat. Indonesia mendapat keuntungan dari hubungan baik negara jirannya sejak penubuhan ASEAN iaitu dalam aspek keselamatan, walaupun dasar luar Indonesia yang berkecuali membuatkan negara ini tidak pernah mempunyai pakatan ketenteraan yang rasmi bersama Amerika Syarikat tapi, Indonesia mendapat pertolongan secara tidak langsung dari rancangan ketenteraan Amerika Syarikat dan negara barat lain dengan negara- negara di rantau tersebut misalnya SEATO (Filipina dan Thailand) dan AMDA (Malaysia). Indonesia dilihat sangat penting kepada Amerika Syarikat dan negara- negara barat yang lain untuk mengawasi keselamatan di Asia bagi menyekat kemaraan komunisme kerana kedudukan Indonesia yang strategik iaitu di pintu masuk kawasan timur untuk ke lautan Hindia termasuk penguasaan terhadap Selat Melaka dan Sunda.

Kesimpulan

Selepas kejatuhan pemerintahan Suharto pada tahun 1998, pentadbiran Indonesia silih berganti presiden seperti Dr. Baharuddin Jusuf Habibie, Abdurrahman Wahid, Megawati Sukarnoputri dan yang terkini Susilo Bambang Yudhoyono yang dilihat tidak banyak bezanya dengan zaman pemerintahan Suharto dahulu. Jika diperhatikan masih lagi wujud kemiskinan yang tinggi, ekonomi yang tidak stabil, agihan pendapatan yang tidak adil, rasuah, hutang luar dan infrastruktur yang kurang memuaskan. Sepertimana yang diperkatakan oleh mantan presiden Singapura, Lee Kuan Yew, Indonesia mempunyai ‘messiness democracy’ di mana sesiapa sahaja boleh dilantik menjadi presiden dan masing- masing menyatakan ingin memajukan Indonesia malah rakyat bebas menyuarakan hak dan kuasa mereka. Indonesia perlu menstabilkan negaranya dengan menyelesaikan permasalahan yang wujud dalam negara tersebut disamping menangani masalah baru. Kini, Indonesia berhadapan dengan isu dan permasalahan baru seperti ancaman wabak penyakit, pengganas dan puak pemisah, pengangguran, pencemaran alam sekitar dan jenayah.



[1] Frederick, W. H. & Worden, R. L. (eds.). (1993). Indonesia: A Country Study. GPO for the Library of Congress: Washington.

[2] Hadi, S. S. & Tony S. S. (1970) Buku Pantjawindhu Kebangkitan Perjuangan Pemuda Indonesia, Yayasan Kesejahteraan Keluarga Pemuda 66: Indonesia.(page122)

[3] Micheal R. J. Vatikiotis (1993) Indonesian Politics Under Suharto: Order development and pressure for change, Routledge: London & New York. (page 32- 33)

[4] Legge, J. D. (1972) Sukarno: A political biography, Allen & Unwin: Sydney.(page 399)

[5] Bernhard Dahm & Falla, P.S (eds.) (1971) History of Indonesia in the Twentieth Century, Pall Mall Press: London.(page 233)

[6] Hadi, S. S. & Tony S. S. (1970) Buku Pantjawindhu Kebangkitan Perjuangan Pemuda Indonesia, Yayasan Kesejahteraan Keluarga Pemuda 66: Indonesia.(page113-118)

[7] Stephen Sloan. (1971). A Study in Political Violence: The Indonesia experience. University of Oklahoma: United State.(page 82-84)

[8] Micheal R. J. Vatikiotis (1993) Indonesian Politics Under Suharto: Order development and pressure for change, Routledge: London & New York.(page 33)

[9] Elson, R. E. (2001) Suharto: A political biography, Cambridge University Press: United Kingdom.(page 151)

[10] Stephen Sloan. (1971). A Study in Political Violence: The Indonesia experience. University of Oklahoma: United State.(page 83-85)

[11] Militer mempunyai dwi fungsi iaitu menjaga keamanan dan mentadbir negara.

[12] Roeder, O. G. (2nd Ed) (1970) The Smiling General: President Suharto of Indonesia, Gunung Agung LTD: Indonesia.(page 148-150)

[13] Ensiklopedia Tokoh Indonesia. (n. d.). Retrieved February 10, 2009, from www.tokohindonesia.com/ensiklopedia/e/emil-salim/index.shtml.

[14] Elson, R. E. (2001) Suharto: A political biography, Cambridge University Press: United Kingdom.(page 149-150)

[15] Roeder, O. G. (2nd Ed) (1970) The Smiling General: President Suharto of Indonesia, Gunung Agung LTD: Indonesia.(page 94)

[16] Frederick, W. H. & Worden, R. L. (eds.). (1993). Indonesia: A Country Study. GPO for the Library of Congress: Washington.

[17] Surya Cipta Televisyen( SCTV) http://www.liputan6.com/sej/?id=19

[18] Roeder, O. G. (2nd Ed) (1970) The Smiling General: President Suharto of Indonesia, Gunung Agung LTD: Indonesia.(page 148)

[19] Nama lainnya ‘Ganyang Malaysia’ atau ‘Crush Malaysia’.

[20] Ibid 13 (page 90-91)

[21] Sikap gemar bergaduh

No comments: